Remaja lelaki ditemui lemas dalam tasik dekat loji berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Permai, Jalan Denai 12, Kempas, Johor Bahru, semalam. Foto Ihsan JBPM

JOHOR BAHRU – Seorang remaja ditemukan lemas dalam tasik berhampiran loji Projek Perumahan Rakyat (PPR) Permai, Jalan Denai 12, Kempas, di sini, semalam.

Mayat remaja lelaki berusia 14 tahun itu ditemui pada pukul 7.35 malam selepas lebih sejam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Yazid Abdul Rahman, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6 petang semalam.

Anggota bomba menjalankan operasi menyelamat di sebuah tasik dekat PPR Permai, Kempas, semalam.

“Susulan itu seramai sembilan anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi yang turut dihadiri Komander Operasi Kanan Penolong Penguasa Bomba Taufiq Atan.

“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati benar terdapat seorang  mangsa lemas dalam sebuah tasik.

“PKO bertindak membuat pencarian dengan kaedah pencarian permukaan menggunakan ‘grapling iron’ sebelum mangsa dijumpai pukul 7.35 malam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pihak yang hadir dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Beliau menambah, operasi ditamatkan pada pukul 8.10 malam tadi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast