KUALA LUMPUR – Sejarah baharu tercipta hari ini dengan kemenangan melalui calon Barisan Nasional (BN), Azmawi Fikri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Pengerusi BN Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, ia kemenangan bersejarah setelah melalui beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) – BN berjaya merampas kembali kerusi daripada pihak lawan.
“Selaku Pengarah Operasi Pilihan Raya Kecil N43 Nenggiri, saya mengucapkan selamat berkhidmat kepada Awie dan ini adalah permulaan gelombang baharu buat anak muda
setelah diberikan kepercayaan oleh rakyat Nenggiri.
“Saya juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada seluruh rakyat Nenggiri yang memilih Awie dan BN pada PRK kali ini. Kami akan menjunjung tinggi kepercayaan rakyat Nenggiri kepada BN,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kemenangan itu juga terhasil daripada sokongan penuh dan kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan seluruh jentera yang bertugas sepanjang tempoh PRK Nenggiri.
BN memperoleh majoriti 3,352 undi dan peratusan keluar mengundi sebanyak 73.88 peritus seperti yang direkodkan oleh SPR sehingga pengumuman rasmi keputusan malam tadi. – MalaysiaGazette