Foto ihsan FB Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan syukur dengan kemenangan besar pihaknya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri malam ini.

Kata Ahmad Zahid, kemenangan adalah kepercayaan dan amanah serta tanggungjawab besar pengundi kepada parti.

“Syukur alhamdulilah. Tiada ungkapan lebih besar dapat saya ungkapkan selain Engkaulah Yang Memberikan Kekuasaan Ya Allah.

“Setinggi penghargaan saya sampaikan kepada seluruh pengundi di DUN Nenggiri yang telah memberikan kepercayaan semula buat Barisan Nasional untuk kembali berkhidmat kepada rakyat disini.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah,  Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub selaku Pengarah Operasi dan pastinya seluruh jentera BN serta semua jentera parti di bawah Kerajaan Perpaduan yang telah bertungkus lumus membantu di Nenggiri bagi memastikan kemenangan calon kita, Awie.

“Kepercayaan yang diberikan ini bukan sahaja satu amanah, tetapi juga satu tanggungjawab besar yang akan kami laksanakan sebaiknya,” tulisnya dalam Facebook rasmi beliau.

Kata Ahmad Zahid lagi, mandat itu akan diraikan oleh BN dengan penuh tawaduk dan keinsafan bahawa jalan perjuangan masih panjang serta usaha mengembalikan keyakinan rakyat kepada akan tetap diteruskan.

“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada ikhtiar melakar kejayaan yang lebih bermakna di masa hadapan. Terima kasih Nenggiri,” ujarnya. – MalaysiaGazette