Mohd Noor Helmy Abdul Halem

KUALA LUMPUR – Walaupun pelbagai teori dan andaian yang dibuat tentang kemenangan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri semalam, hakikatnya keputusan semalam adalah disebabkan faktor calon.

Ahli Dewan Undangan Negeri Duyong, Melaka, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, Azmawi adalah pemimpin yang senang ‘jual’ pada pengundi Nenggiri kerana beliau sudah lama buat mencurahkan khidmat baktinya di kawasan tersebut.

“Rata-rata kawasan dalam Nenggiri ada terima sentuhan dia. Daripada bermula sebagai pegawai khas YB BN di Nenggiri, sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang, sebagai Ketua Belia, sebagai “insan” dan segala “bagai”lah,” kata beliau.

Tambahnya, dek kerana khidmat bakti, Azmawi dikenali.

Disebabkan Azmawi dikenali, maka semua pengundi mahukan beliau.

“Nakkan dia sehingga semua orang berani undi dia. Kawasan ditakrifkan “hitam melekat” pun dah jadi kelabu nak putih,” tambahnya.

Oleh itu, beliau menyifatkan keputusan PRK Nenggiri satu isyarat besar kepada pucuk pimpinan UMNO iaitu letak orang yang betul, pilih calon yang akar umbi hendak dan beri peluang dan ruang yang sepatutnya.

Jika tidak, ‘warlord’ pun boleh terbalik dikerjakan rakyat, kata beliau penuh makna.

Azmawi menang dengan memperoleh 9,091 undi manakala pencabarnya, Mohd Rizwadi yang meraih 5,739 undi.

Kemenangan itu dengan majoriti 3,352 undi. – MalaysiaGazette