Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berucap sempena Ceramah Muktamar Tahunan Pas Ke-69 di IDCC, Shah Alam, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 21 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – ‘Rumah siap, pahat masih berbunyi’, itu perumpamaan yang sesuai diberikan kepada Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad yang mendakwa kemenangan Barisan Nasional (BN) disebabkan salah guna agensi kerajaan.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu mendakwa, beliau melihat sendiri suasana agensi-agensi kerajaan sepertimana Felcra, Kesedar di bawah Kerajaan Pusat digunakan tanpa segan dan malu oleh parti kerajaan.

“Saya berada di sana lebih seminggu dan dapat lihat secara dekat suasana yang ada. Digunakan agensi-agensi kerajaan sepertimana Felcra, Kesedar di bawah Kerajaan Pusat dengan tanpa segan dan malu.

“Begitu juga dengan penggunaan agensi JAKOA yang menguruskan kebajikan hal ehwal Orang Asli yang digunakan sepenuhnya untuk memastikan ‘fixed deposit’ UUMNO-BN yang memang selama ini sudah pun ada dan digandakan lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Idris berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri adalah pertembungan antara jentera parti politik Perikatan Nasional (PN) yang berdepan dengan kerahan jentera dan agensi Kerajaan Persekutuan.

Jelasnya, persaingan tidak berlaku antara parti dengan parti, yang mana perkara tersebut dilihat jelas dilakukan BN ke atas jentera dan agensi kerajaan yang lebih bersifat survival politik seseorang pemimpin.

“Untuk BN memastikan kemenangan, mereka akan gunakan apa saja terutama kita faham, kepada Timbalan Perdana Menteri kemenangan ini untuk survival politik dia,” kata Idris.

Pada PRK semalam, BN berjaya merampas kembali kerusi tradisinya itu di Kelantan, selepas calonnya menang menewaskan calon PN, dalam saingan satu lawan satu.

Calon BN, Mohd Azmawi Fikri, 38, menang dengan memperoleh 9,091 undi menewaskan pencabarnya daripada PN, Mohd Rizwadi yang meraih 5,739 undi.

Azmawi yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan dan Gua Musang yang mesra dengan panggilan Awie menang dengan majoriti 3,352 undi.

Berdasarkan keputusan kiraan, BN memenangi 17 daripada 20 pusat daerah mengundi (PDM), manakala PN pula hanya menguasai tiga PDM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast