Seramai 41 orang awam Palestin yang cedera akibat konflik di Gaza yang diterbangkan dari Pangkalan Udara Al Maza, Mesir pada Khamis malam dengan menggunakan dua pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan selamat tiba Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 16 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menentukan sama ada akan meneruskan misi kemanusiaan bagi membawa lagi rakyat Palestin yang cedera untuk dirawat di Malaysia  pada masa akan datang.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setakat ini kemasukan rakyat Palestin ke negara ini hanya terhad kepada mereka yang dibawa pada Jumaat lepas.

“Ia bergantung kepada kerajaan untuk menentukannya setakat ini (membawa masuk rakyat Palestin untuk dirawat). Itu sahaja setakat ini. Sebabnya ia bukan mudah untuk mendapatkan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Tahun 2024 Peringkat Kementerian Pertahanan (MINDEF) di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Pada Jumaat lalu, seramai 41 rakyat Palestin yang cedera akibat serangan Zionis di Gaza, selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara (PTU) Subang dengan diiringi oleh 86 waris

Kedua-dua pesawat berkenaan membawa rakyat Palestin dari Pangkalan Udara Al Maza, Mesir, menggunakan penerbangan selama 13 jam dan sempat transit di Karachi sebelum menyambung perjalanan ke Malaysia.

Misi itu dilaksanakan atas pertimbangan kemanusiaan bagi menunjukkan solidariti rakyat negara ini bersama rakyat Palestin serta pendirian Malaysia menentang tindakan tidak berperikemanusiaan atau genosid.

Ditanya mengenai keadaan kesemua rakyat Palestin yang sedang dirawat di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan di Wangsa Maju, Mohamed Khaled berkata, mereka berada dalam keadan baik.

Sementara itu, Mohamed Khaled menegaskan, Kementerian Pertahanan tidak pernah melantik mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengutip sumbangan buat rakyat Palestin yang dibawa masuk untuk dirawat di negara ini.

Sebaliknya, beliau berkata, jika ada pihak yang ingin menyumbang mereka boleh terus menghubungi MINDEF atau Hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Jika ada sesiapa yang hendak menyumbang boleh hubungi kami terus. Jadi, kalau ada pihak yang membuka sumbangan untuk rakyat Palestin yang dirawat mohon semak dahulu,” ujarnya. – MalaysiaGazette