Datuk Seri Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yakin polis akan mengambil tanggungjawab serius berhubung titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah yang murka terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas Perdana Menteri itu dikatakan menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini.

Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO itu berkata, siasatan yang dibuat adalah wajar bagi melihat tindakan yang perlu terhadap Muhyiddin.

“Saya pasti dengan titah sedemikian pihak-pihak yang bertanggungjawab akan mengambil serius untuk lihat apa yang wajar dilakukan,” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Tahun 2024 Peringkat Kementerian Pertahanan (MINDEF) di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan menjawab pertanyaan wartawan berhubung titah Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah terhadap Muhyiddin berhubung perkara tersebut.

Dalam kenyataannya lewat malam tadi, baginda menggesa polis mengambil tindakan tegas tanpa kompromi kepada Muhyiddin yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R dalam ucapanya pada PRK berkenaan.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai ucapan Muhyiddin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Tegas Tengku Hassanal, Pengerusi Perikatan Nasional telah itu memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat untuk menunjukkan Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.

Titahnya, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga kelihatan tidak matang dan menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tengku Hassanal murka, mahu Muhyiddin dikenakan tindakan tegas