Ruslin JUsoh menunjukkan barang rampasan dari sindiket ejen palsu menawarkan khidmat PLS IMigresen yang ditumpaskan di 7 lokasi sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan 15 Ogos lalu.

PUTRAJAYA – Satu sindiket ejen palsu yang menawarkan perkhidmatan mendapatkan Pas Lawatan Sosial (PLS) yang mensasarkan warga asing terutamanya dari China, tumpas.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata, seramai lapan individu yang dipercayai terlibat dengan sindiket berkenaan ditahan dalam serbuan serentak di tujuh lokasi berbeza sekitar Lembah Klang, 15 Ogos lalu.

Katanya, serbuan dilakukan di Cheras, Mid Valley City, Desa Pandan, Taman Midah, Sungai Besi, Sepang, dan Bandar Enstek di Negeri Sembilan.

“Modus operandi sindiket itu adalah menawarkan perkhidmatan mendapatkan kemudahan Imigresen dengan mensasarkan warga China yang tinggal lebih masa dan terdesak mendapatkan kemudahan Pas Lawatan Sosial jangka Panjang dan jangka pendek untuk tinggal lebih lama di negara ini.

“Sindiket ini bertindak licik menggunakan aplikasi WeChat di media sosial bagi mempromosikan perkhidmatan mereka yang tidak wujud itu.

“Mereka juga mengenakan kadar bayaran antara RM1,200 hingga mencecah RM15,000 bagi kemudahan PLS dan menggunakan khidmat kurier untuk penghantaran bagi mengelak mudah dikesan pihak berkuasa,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Tambah Ruslin, hasil risikan selama dua minggu dan serbuan, pasukannya berjaya menahan empat lelaki tempatan yang mana dua daripada merupakan dalang utama menggerakkan ejen palsu tersebut.

Turut ditangkap adalah dua wanita China yang berperanan sebagai ahli sindiket, seorang lelaki warga China yang merupakan pelanggan dan seorang wanita warga Filipina yang merupakan pembantu rumah kepada salah seorang dalang.

Kesemua lapan suspek berusia lingkungan antara 33 hingga 53 tahun dan telah aktif selama sebulan dalam kegiatan tersebut.

Menurut beliau, hasil semakan lanjut mendapati empat warga asing yang ditahan itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di dalam Malaysia.

Katanya, selain penahanan suspek, pihak Imigresen juga berjaya merampas 107 naskah pasport antarabangsa pelbagai negara yang terdiri daripada pasport China (100 naskah); Taiwan (dua); Thailand (tiga) dan masing-masing satu pasport Vanuatu dan Dominica.

Turut dirampas borang permohonan Pas Lawatan Jabatan Imigresen Malaysia, wang tunai RM57,260 dan Bhat Thailand 29,660 selain lima kenderaan terdiri daripada dua jenis BMW, sebuah Volkswagen, sebuah kereta Perodua Myvi dan Suzuki Swift yang digunakan sindiket itu.

Ruslin menambah, siasatan awal mendapati sindiket ejen palsu ini turut menjanjikan tawaran PLS dengan pantas dan cepat kerana kononnya mengenali orang dalam.

Sehubungan itu ujarnya, pihak Imigresen akan menjalankan siasatan meluas bagi mencari saki-baki individu terlibat dalam sindiket tersebut.

Beliau juga tidak menolak siasatan mungkin akan turut menjurus kepada penglibatan orang awam atau pegawai dalam sindiket berkenaan.

“Kesemua lapan suspek itu kini direman 14 hari bagi membantu siasatan lanjut mengesan sekiranya mereka berjaya menghantar PLS yang dijanjikan kepada pelanggan menerusi kurier dalam tempoh aktif selama sebulan ini.

“Mereka kini ditahan di depoh sementara di JIM Putrajaya untuk siasatan lanjut dan disiasat di Bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 manakala empat lagi warga asing ditahan itu disiasat di Bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam pada itu, Ruslin menegaskan, Jabatan Imigresen tidak pernah melantik mana-mana ejen sebagai orang tengah untuk menjalankan perkhidmatan mereka.

Katanya, warga asing yang mempunyai masalah dan perlu tinggal lebih masa di Malaysia boleh membuat permohonan menerusi sistem dalam talian JIM untuk melanjutkan tempoh tinggal dengan bayaran RM100 sahaja.-MalaysiaGazette