Tular gambar OKT lolos dari Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG PERAI – Polis Pulau Pinang menafikan dakwaan tular berhubung seorang lelaki tempatan yang juga orang kena tahan (OKT) membabitkan kes dadah meloloskan diri dari Mahkamah Butterworth dekat sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan C.Tharmalingam berkata, OKT berusia 36 tahun itu dibebaskan selepas mahkamah membenarkan dia diikat jamin bagi pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Tiada insiden OKT loloskan diri dari mahkamah, maklumat tular itu tidak betul. Sebaliknya, OKT berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan RM3,000 beserta seorang penjamin.

“Orang ramai tidak perlu gusar dengan dakwaan tersebut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu, tular rakaman audio serta gambar OKT di media sosial dengan dakwaan telah meloloskan diri dari Mahkamah Butterworth dan pihak polis sedang giat mengesannya sekitar kawasan tersebut. – MalaysiaGazette