KUALA LUMPUR – Persidangan Antarabangsa Logistik Maritim dan Pelabuhan (ICMLP) 2024 pada 3 hingga 5 September ini bakal menjadi platform terbaik untuk bertukar idea dan pandangan dalam kalangan pemain industri berkaitan.
Kolej Universiti Maritim Belanda (NMUC) dalam satu kenyataan berkata, acara berprestij itu akan menampilkan barisan pemimpin, pakar industri dan inovator dari seluruh dunia.
“Platform ini akan digunakan untuk bertukar idea dari segi logistik maritim, pengurusan pelabuhan, pengurusan rantaian bekalan, dan pengangkutan,” katanya, hari ini.
ICMLP 2024 anjuran NMUC akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada 3 hingga 5 September ini.
ICMLP 2024 dianjurkan bersama Institut Latihan Pelabuhan (PTI); Akademi Sains, Teknologi dan Pengangkutan Maritim Arab (AASTMT); STC International; MY Iskandar Sdn Bhd (MISB) dan Institut Berkanun Logistik dan Pengangkutan (CILT).
Menurut NMUC, antara tema utama ICMLP 2024 merangkumi pasaran baharu dalam pembangunan pelabuhan, undang-undang maritim, pengurusan risiko dalam maritim dan logistik.
“Selain itu, acara ini turut bertemakan pelabuhan pintar, penghantaran hijau, pembinaan kapal, keselamatan siber, pengurusan rantaian bekalan digital serta eksploitasi sumber laut lestari.
“ICMLP 2024 turut membincangkan tanggungjawab tadbir urus secara sosial dalam logistik, kepelbagaian budaya di bandar pelabuhan, logistik kemanusiaan dalam tindak balas bencana, pendidikan serta latihan untuk profesional maritim.
“Turut ditekankan ialah inovasi, kerjasama dan kemajuan pengetahuan dalam logistik maritim serta pengurusan pelabuhan serta kepentingan logistik yang cekap, lestari, dan berdaya tahan.
“Ia lebih tertumpu kepada perdagangan global, pertumbuhan ekonomi, dan keterhubungan dalam landskap teknologi dan geopolitik berkembang pesat,” katanya.
Menurut kenyataan itu, para pamamer turut dijemput untuk memperkenalkanproduk atau perkhidmatan mereka di samping mengalu-alukan penaja untuk menyokong acara ini.
“Acara ini menyediakan peluang kepada syarikat untuk meningkatkan keterlihatan mereka, berinteraksi dengan pemimpin industri yang berpengaruh dan menjalin hubungan berharga dengan pihak berkepentingan utama dalam sektor maritim.
“Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang www.icmlp.nmuc.edu.my. – MalaysiaGazette