Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menunggu sehingga pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober ini sebelum menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2024.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bagaimanapun mengakui pertumbuhan ekonomi negara bagi suku pertama tahun ini baik malah lebih baik pada suku kedua.

“Saya rasa kami mempunyai suku pertama dan kedua yang baik malah lebih daripada suku pertama.

“Saya fikir kita akan menunggu sehingga Bajet pada Oktober sebelum kita membuat sebarang semakan tetapi ia kelihatan baik,” katanya pada Majlis Pelancaran National Fraud Portal di Sasana Kijang, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada kerajaan akan membuat semakan semula unjuran KDNK 2024 selepas prestasi luar jangkaan pada suku kedua 2024.

Ekonomi Malaysia meningkat sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024 didorong oleh permintaan dalam negeri yang lebih kukuh serta eksport yang terus berkembang.

Bank Negara Malaysia mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus bagi 2024. – MalaysiaGazette