KUALA LUMPUR – National Fraud Portal atau NFP mampu melonjakkan strategi negara bagi memerangi penipuan dalam talian dengan mengubah proses Pusat Respons Scam Kebangsaan atau NSRC pada masa akan datang.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ini kerana NRSC sebelum ini dikendalikan secara manual dan banyak memakan masa.

Justeru, beliau yakin NGP adalah peneraju platform automasi di rantau ini yang menyediakan akses selamat kepada pangkalan data penting untuk menyokong pencegahan penipuan serta memberi ahli NSRC keupayaan dinamik untuk mengesan dan mencegah aktiviti penipuan.

“Portal ini akan mengintegrasikan data transaksi kewangan dari pelbagai sumber untuk mengesan transaksi mencurigakan secara automatik dan memudahkan pengesahan oleh institusi terlibat.

“Automasi ini mempercepatkan tindakan, mengurangkan masa pengesanan penipuan, dan mencegah kerugian lanjut.

“Tindak balas pantas adalah teras untuk menghalang dana yang dicuri daripada dikeluarkan dari sistem kewangan, justeru meningkatkan kemungkinan pemulangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran National Fraud Portal di Sasana Kijang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah memberitahu, sejak peringkat rintis, NFD telah mengurangkan masa menjejaki transaksi penipuan hingga 75 peratus dan meningkatkan jumlah purata bulanan dana dibekukan (atau ‘earmarked amount’) oleh institusi kewangan sebanyak 28% atau RM4 juta.

Tambah beliau, dengan penyertaan 16 institusi kewangan, manfaat portal ini dijangka terus meningkat, seiring dengan penambahbaikan berterusan dan lebih banyak penyertaan institusi kewangan.

“Portal ini juga disokong oleh akses kepada data berkaitan akaun keldai daripada seluruh industri kewangan.

“Dalam hal ini, saya ingin memberi penghargaan kepada Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) atas inisiatif bersama menghasilkan protokol pengendalian akaun keldai.

“Protokol ini membantu institusi kewangan mengklasifikasikan akaun keldai dengan lebih tepat.

“Saya difahamkan dengan data dan analisis ini, kadar pengesanan pemegang akaun keldai telah meningkat sebanyak 14 peratus.

“Protokol ini juga menyelaraskan pendekatan industri dalam membantu pemegang akaun yang menjadi mangsa, supaya mereka tidak terus dinafikan perkhidmatan kewangan asas,” katanya. – MalaysiaGazette