Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu

KUANTAN – Pihak kontraktor yang dilantik oleh Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) yang menjalankan kerja-kerja penyiraman pokok disaran bagi mengambil langkah keselamatan secara proaktif.

Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihak kontraktor bakal berdepan tindakan undang-undang jika mengambil enteng perkara berkenaan.

Ini susulan langkah keselamatan sewajarnya patut diambil memandangkan kemalangan nyawa melibatkan pengguna jalan raya berlaku ketika kerja-kerja penyiraman dilakukan dalam bulan Ogos ini sahaja.

”Pihak kontraktor juga telah diarahkan supaya mengambil langkahan keselamatan yang lebih semasa kerja-kerja siraman bagi memastikan tidak berlaku halangan kepada kenderaan lain,” katanya ketika dihubungi.

Jelas Wan Mohd Zahari, kegagalan untuk mengambil langkahan selamat tindakan akan diambil atas kesalahan melakukan halangan di jalan dibawah Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan juga boleh dikenakan tindakan dibawah lain-lain perundangan.

”Polis mengambil tindakan terhadap pihak kontraktor yang menjalankan kerja-kerja siraman di lokasi tersebut atas kesalahan melakukan halangan di jalanraya hingga menyebabkan kemalangan.

”Bahagian trafik akan ditugaskan membuat rondaan pemantauan di lokasi-lokasi berkenaan bagi mengambil tindakan jika tiadanya kepatuhan oleh pihak kontraktor,” tambahnya.

Selain itu polis juga menasihatkan pengguna jalanraya juga sentiasa berhati-hati semasa melalui laluan tersebut semasa kerja-kerja penyiraman tersebut.

Wan Mohd Zahari berkata, seorang penuntut Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) maut ketika kerja penyiraman pokok di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran jejambat Bunga Cengkih pada semalam merupakan mangsa kedua selepas insiden 7 Ogos lalu.

Siasatan awal mendapati mangsa dari arah Terminal Sentral Kuantan (TSK) menghala ke arah Semambu dekat sini.

”Semasa kejadian  lori kontraktor MBK sedang bergerak lurus di lorong kanan dengan muatan air menjalankan kerja-kerja penyiraman pokok bunga pukul 3.20 petang semalam.

”Tiba-tiba dipercayai mangsa bergerak di lorong kiri telah mengubah haluan ke lorong kanan lalu telah melanggar bahagian belakang sebelah kiri lori,” katanya.

Akibat nahas tersebut, penunggang dan pembonceng  ke Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah @IIUM untuk mendapatkan rawatan.

Penunggang motosikal, Muhammad Nafis Ifwat Sasuhilmy, 19, telah disahkan meninggal dunia pukul 9.10 malam tadi di zon merah hospital berkenaan semasa dalam rawatan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dalam sebulan dua kes maut siram pokok bunga tepi jalan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast