Bangunan RTM.

KUALA LUMPUR – Pembayaran tertunggak kepada pekerja perkhidmatan sambilan (piecemeal) Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan dijelaskan pada bulan ini.

Demikian penjelasan yang diberikan stesen televisyen kerajaan tersebut menerusi kenyataan susulan dakwaan gaji ratusan pekerja belum dibayar sejak Jun lalu.

RTM menerusi kenyataan berkata, kini kelulusan khas kadar bayaran daripada Kementerian Kewangan (MOF) di peringkat akhir.

“RTM sebelum ini telah membuat permohonan kepada MOF berikutan pembatalan semua kelulusan terdahulu oleh MOF dalam surat bertarikh 24 Jun 2024 yang melibatkan kadar perolehan perkhidmatan bukan penjawat awam,” katanya.

Jelasnya, melalui kelulusan tersebut punca kuasa membayar perolehan pekerja sambilan pada masa akan datang dijamin lebih teratur dan tidak menyalahi tatacara perolehan kerajaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman menerusi aplikasi X, melampirkan kenyataan RTM tersebut sambil mengesahkan perkara tersebut sudah selesai.

“Selesai,” tulisnya ringkas.

Sebuah portal baru-baru ini memetik sumber sebagai berkata gaji seramai 700 pekerja sambilan stesen penyiaran berkenaan belum dibayar.

Mereka mendakwa telah diberitahu bahawa RTM sedang menunggu dana daripada kerajaan untuk membayarnya.-MalaysiaGazette