11 pekerja asing diberkas JIM Pulau Pinang menerusi Ops Selera di sebuah pusat beli-belah di Seberang Jaya semalam.

SEBERANG JAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang menahan 11 warga asing yang bekerja sebagai pengendali makanan di medan selera sebuah pusat beli-belah di sini, semalam.

JIM Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh, Nepal dan Indonesia berusia 25 hingga 40 tahun.

“Hasil pemeriksaan mendapati ada dalam kalangan pekerja asing itu tidak mempunyai pas perjalanan manakala ada yang langgar syarat pas dengan bekerja di sektor lain.

Tiada pas perjalanan sah antara kesalahan yang dikenal pasti.

“Kesemua mereka dibawa ke depot tahanan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Tambah JIM Pulau Pinang, pihaknya turut mengeluarkan beberapa notis kepada saksi pekerja warga tempatan untuk hadir bagi membantu siasatan serta tindakan lanjut ke atas pemilik perniagaan.

Kesemua tangkapan dibawa ke depot imigresen untuk tindakan lanjut.

“Jika sabit kesalahan orang yang mengaji pekerja asing tanpa permit sah boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih 12 tahun atau kedua-duanya bagi setiap pekerja tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette