KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya merampas rokok dan arak seludup tidak bercukai bernilai RM2.13 juta selepas menggempur 85 premis runcit di sekitar ibu negara.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Norlela Ismail berkata, kejayaan itu dicapai menerusi operasi khas Ops Royal yang dilaksanakan sejak 12 Ogos lalu hingga hari ini.
Katanya, operasi royal itu dilaksakana dengan Kerjasama Cawangan Khas Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur.
“Kita telah melakukan operasi melibatkan 85 premis di beberapa lokasi yang dikenal pasti kegiatan penjualan barang kontraban tidak bercukai itu iaitu di Jalan Pudu, Chow Kit dan Jalan Petaling, ibu negara.
“Hasil operasi dan pemeriksaan kita berjaya membuka 36 kertas siasatan untuk Tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media di Jalan Abdul Rahman Idris, Chow Kit malam tadi.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut anggota penguatkuasa Kastam turut membawa kepada rampasan sebanyak 5,545 liter minuman keras pelbagai jenama dan 727,801 batang rokok yang disita untuk tindakan sewajarnya.
“Dalam operasi sama, kita berjaya menahan seramai 35 orang peruncit yang didapati terlibat aktiviti penjualan arak dan rokok seludup tidak bercukai itu.
“Siasatan kami mendapati mereka menjual barang seludup tidak bercukai itu secara menyorok pada kadar murah berbanding harga semasa rokok berjenama lain di pasaran tempatan kepada pelanggan tetap sahaja.
“Kita masih meneruskan siasatan ke atas mereka mengenai modus operandi penjualan kontraban seludup itu serta sumber bekalannya,” katanya lagi.
Selain pemeriksaan dan serbuan, tegasnya lagi kastam turut mewujudkan khemah statik atau van bergerak sebagai salah satu aktiviti penguatkuasaan yang berfungsi sebagai platform menerima aduan, menyampaikan mesej anti penyeludupan dan membina jalinan kerjasama agensi penguatkuasaan dengan komuniti awam.
Jelas Norlela lagi, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967. – MalaysiaGazette