Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Penerbangan Malaysia Airlines MH386 terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam disebabkan masalah tekanan dalam kabin.

Menurut laporan sebuah portal, pesawat menuju Shanghai itu mengalami masalah berkenaan setelah berlepas dari Terminal 1 KLIA, 9.14 malam.

Data FlightRadar menunjukkan pesawat Airbus A330-300 itu mengisytiharkan kecemasan umum sejurus selepas berlepas dari Kuala Lumpur.

Penerbangan itu menggunakan kod 7700 dan memulakan penurunan hingga 10,000 kaki yang menunjukkan kemungkinan masalah tekanan kabin.

Pesawat berkenaan selamat mendarat di KLIA selepas 70 minit di udara.- MalaysiaGazette