Seramai 41 rakyat Palestin yang cedera akibat konflik di Gaza diterbangkan dari Mesir pada khamis dengan menggunakan dua pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 16 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamad Sabu menggunakan pentas The Ninth Asia Pacific Economic Cooperation Food Security Ministerial Meeting (The 9th FSMM) bagi menyuarakan gesaan supaya Ekonomi Asia-Pasifik (Asia Pacific Economic Cooperation (APEC) membantu penduduk di Palestin mengatasi masalah kelaparan dan kebuluran.

Menurut kenyataan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Menterinya memaklumkan inisiatif Malaysia membawa 127 rakyat Palestin ke Malaysia baru-baru ini untuk menjalani rawatan kesihatan adalah atas dasar kemanusiaan.

“Dalam ruang yang sama, YB Menteri telah mengambil kesempatan untuk mengetengahkan isu krisis kemanusiaan dan keterjaminan makanan yang sedang berlaku di Gaza,” katanya.

Terdahulu, kementerian itu berkata, Mohamad Sabu mengetuai delegasi Malaysia menghadiri The 9th FSMM yang berlangsung di Trujillo, Peru pada 18 Ogos 2024.

Menurutnya, beliau merupakan antara 18 wakil APEC merumus dan mempersetujui dokumen Trujilo Principles For Preventing and Reducing Food Loss and Waste (Trujilo Principles) dan juga Deklarasi Menteri Pertanian Ekonomi APEC Trujilo berhubung Keterjaminan Makanan.

Tambahnya, Mohamad Sabu turut berkongsi mengenai usaha negara ke arah menangani isu FLW di dalam negara selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 Ketika mesyuarat berlangsung.

“Agenda utama bagi The 9th FSMM kali ini meliputi pengukuhan komitmen ekonomi APEC dalam memartabatkan dan meneruskan usaha ke arah kestabilan dan keterjaminan makanan di rantau Asia Pasifik,” tambahnya.

Dokumen Trujilo Principles merupakan pelengkap kepada dokumen Food Security Roadmap Towards 2030 yang dibangunkan pada 2021 semasa The 6th FSMM.

Jelasnya, dokumen berkenaan memberi panduan kepada 21 ekonomi APEC mengenai menyokong pembangunan mampan sistem makanan dan komitmen memulihara alam sekitar bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (Sustainable Development Goals – SDG). – MalaysiaGazette