Pelabuhan Klang

KUALA LUMPUR- Pelabuhan Klang menduduki tangga ke-11 dalam Senarai 100 Teratas Pelabuhan Llyod’s 2023, naik dua anak tangga berbanding tangga ke-13 pada 2022.

Kementerian Pengangkutan dalam kenyataannya berkata, pencapaian itu menunjukkan peranan penting pelabuhan tersebut dalam perdagangan global dan logistik serta salah sebuah daripada hab trans-penghantaran terbesar di Asia (tidak termasuk Pelabuhan China).

Ia juga menjadi bukti pertumbuhan konsisten Pelabuhan Klang serta kepentingan strategik dalam industri maritim global.

Katanya, Pelabuhan Klang mengendalikan 14.061 juta TEU, meningkat 6.3 peratus berbanding 13.223 juta TEU yang direkodkan pada 2022.

Secara khusus, import dan eksport tempatan berkembang sebanyak 8.4 peratus dari 5.68 juta TEU pada 2022 kepada 6.16 juta TEU pada 2023.

“Peningkatan dalam ranking ini menunjukkan pengaruh Malaysia yang semakin berkembang dalam perdagangan antarabangsa.

“Kedudukannya yang strategik ditambah dengan polisi yang baik serta pembangunan infrastruktur berterusan dan pelaburan dalam teknologi terkini menjadikannya hab yang menarik kepada laluan perkapalan dan perdagangan,” kata kenyataan itu.- MalaysiaGazette