Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa bercakap pada sidang media berkenaan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Polis Kuala Lumpur ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sri Satria Blok A, Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC diingatkan agar tidak membawa 17 bahan terlarang pada perlawanan akhir Piala FA Malaysia 2024/2025, Sabtu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya akan menjalankan pemeriksaan yang ketat di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Antara barangan dilarang adalah bahan api seperti mercun, bunga api, suar; topi keledar; laser; sebarang objek tajam (kayu, besi); senjata berbahaya, dadah dan minuman keras.

“Penonton juga dilarang menbawa payung atau tongkat, alat pengecas (powerbank), botol, ais, pemetik api, rokok serta rokok elektronik (vape), drone, pembesar suara, wisel dan gendang melainkan dengan kebenaran.

“Setiap penonton akan diperiksa badan serta beg bagi memastikan mereka mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara, di sini, hari ini.

Menurut Rusdi, tindakan tegas akan dikenakan sekiranya terdapat penyokong dan penonton yang melanggar arahan ditetapkan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Selain itu, penyokong dinasihatkan agar menjaga tatasusila dan tidak melakukan provokasi melampau sehingga mencetuskan kekecohan sewaktu mahupun selepas perlawanan tersebut.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur (KL) di talian 03-2115 9999 atau Bilik Gerakan JSPT KL ditalian 03-20719999,” jelasnya. – MalaysiaGazette