Md Othman (dua kiri) bertukar dokumen dengan Kim Young Kun dalam Majlis Menandatangani MoU antara CGPV dan GG56 di Forest City, di Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Projek Bandar Budaya Korea pertama di Malaysia akan dibina di Forest City di sini menerusi pelaburan RM4.73 billion dengan menyasarkan 10 juta pelancong setahun.

Pengarah Eksekutif Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV), Datuk Md Othman Yusof berkata, pelaburan itu akan dibawa masuk oleh firma pelaburan terkemuka Korea Selatan iaitu GG56 Korea Limited (GG56).

Menurut beliau, pembangunan yang difokuskan antaranya studio produksi hiburan Korea, kawasan kebudayaan antarabangsa serta pembangunan kediaman bertaraf dunia.

“Projek ini bakal menyaksikan ‘bandar budaya Korea’ pertama dibangunkan dalam negara. Selain mewujudkan impak ekonomi positif kepada pasaran tempatan, ia juga bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat.

“Kita yakin projek jangka masa panjang ini bakal menarik kehadiran pengunjung tempatan dan antarabangsa, kerana budaya Korea mempunyai tarikan global tersendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara CGPV dan GG56 berhubung projek pembangunan Bandar Budaya Korea di Forest City, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Eksekutif CGPV, Datuk Dr Daing A Malek Daing A Rahaman; Ketua Pegawai Eksekutif GG56, Kim Young Kun dan Pengarah GG56, Lee Dong Hyun.

Md Othman meluahkan keyakinan Forest City bakal menerima kemasukan pelaburan asing baharu selepas pengumuman berkenaan Zon Kewangan Khas (SFZ) dibuat.

“Sejak pengumuman itu dibuat, kita telah mendapat banyak pertanyaan tentang Forest City, ini menunjukkan pertambahan minat kepada kawasan hartanah ini,” jelasnya.

Sementara itu, Young Kun berkata, pihaknya menyasarkan kehadiran sehingga 10 juta pengunjung setahun ke bandar berkenaan.

“Kita mempunyai cita-cita besar untuk projek kerjasama ini, selain itu kita juga mempunyai perancangan masa depan lain di kawasan ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette