Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali

BANGI – Enam penanda aras Ekonomi Madani berada di landasan tepat untuk dicapai selepas setahun dilancarkan dengan sasaran jangka sederhana untuk dicapai pada 2023.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, UKM (MINDA- UKM), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, hanya penanda aras bagi daya saing global, kerajaan disaran memiliki pasukan berdedikasi dan khusus untuk mengembalikan Malaysia ke liga belasan di dunia.

Beliau menegaskan, semua pihak sama ada kerajaan, perniagaan dan masyarakat mempunyai peranan untuk meningkatkan daya saing negara.

“Sasaran Ekonomi Madani untuk mengukuhkan daya saing negara ke tangga ke-12 teratas di dunia adalah satu cabaran besar buat Malaysia.

“Sasaran Ekonomi Madani bukan sesuatu yang mustahil kerana Malaysia pernah berada di tangga sama pada tahun 2014. Namun dalam tempoh 10 tahun, daya saing kita telah jatuh merudum dan terkini di tangga ke-34.

“Senario ini menuntut tindakan segera yang lebih agresif dan bersungguh-sungguh di mana kerajaan perlu memiliki pasukan yang khusus menilai, menyusun strategi, melaksana, memantau dan melapor secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Sidang Media Khas Setahun Ekonomi Madani dan Transformasi Ekonomi Bumiputera (PuTERA35) di Universiti Kebangsaan Malaysia di sini hari ini.

Pada Julai tahun lalu, kerangka Ekonomi Madani dilancarkan dengan menetapkan tujuh petunjuk prestasi utama sebagai sasaran jangka sederhana untuk dicapai dalam tempoh 10 tahun.

Penanda itu adalah Malaysia berada dalam kalangan 30 ekonomi terbesar dunia, 12 teratas dalam Indeks Daya Saing Global, pendapatan buruh membentuk 45 peratus daripada jumlah pendapatan dan penyertaan wanita dalam tenaga kerja mencapai 60 peratus, 25 teratas dalam Indeks Pembangunan Manusia.

Penanda lain adalah 25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah dan mencapai kemampanan fiskal dengan defisit fiskal sebanyak tiga peratus atau lebih rendah.

Mengulas lanjut, Noor Azlan menambah, daya saing negara adalah antara faktor utama penentu kejayaan Malaysia untuk menjadi destinasi pilihan pelabur, globaldan juga domestik.

Ini kerana jelas beliau yang juga ahli ekonomi, negara-negara maju umumnya mempunyai tahap daya saing yang tinggi.

“Bagi daya saing global, hanya segmen prestasi ekonomi yang masih bertahan dan kini di kedudukan kelapan.

“Tiga kategori yang lain iaitu Kecekapan Kerajaan, Kecekapan Perniagaan dan Infrastruktur termasuk pendidikan semuanya jatuh secara berterusan kini di tangga ke 33, 40 dan 35.

“Senario tidak boleh dibiar jatuh lagi kerana tidak mustahil ia akan berulang untuk tempoh 10 akan datang lagi,” katanya.

Noor Azlan berkata, sasaran Ekonomi Madani untuk menjadikan Malaysia di kedudukan 12 teratas di dunia adalah satu sasaran yang penting untuk Malaysia muncul sebagai jaguh Asia.

“Sasaran Ekonomi Madani masih ada tempoh sembilan tahun lagi dan hanya kedudukan daya saing negara yang membimbangkan.

“Ia menuntut semua pihak segera bertindak bagi menjayakan Ekonomi Madani dan misi negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast