Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Isu adendum terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibangkitkan oleh perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Pahang hari ini.

Setiausaha Pemuda UMNO Pahang, Mohd Azly Norzan yang menjadi pembahas dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU2024) menuntut kepastian daripada kepimpinan tertinggi sama ada wujud atau tidak titah adendum agar Najib bagi menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

“Pemuda Pahang ingin bertanya terus, wujud atau tidak titah adendum penahan di rumah (untuk Najib). Jika wujud, katakan wujud dan jika tidak, nyatakan tidak wujud.

“Kami Pemuda UMNO Pahang boleh teruskan perjuangan titah adendum ini sebab ia isu bukan sekadar melibatkan Datuk Seri Najib (tetapi juga) melibatkan pelanggaran terhadap Rukun Negara.

“Ini boleh jadi kes yang sangat serius apabila titah Yang di-Pertuan Agong itu sendiri seolah-olah dipermainkan bahkan jika berdiam diri dan dibiarkan perkara ini berlalu (sedangkan) ia boleh menjadi duluan atau precedent yang boleh dirujuk mana-mana titah Yang di-Pertuan Agong mahu pun Raja-Raja Melayu selepas ini,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Pemuda UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia hari ini.

Sementara itu, Mohd Azly berkata, kepimpinan tertinggi parti juga perlu memberi jawapan sama ada titah adendum yang ditunjukkan kepada Ahmad Zahid itu sah atau sebaliknya.

“Saya menyeru kepada semua kepimpinan tertinggi Pemuda UMNO supaya membawa usul Pemuda UMNO Pahang ini ke atas dan pastikan persoalan yang kami perjuangkan ini ada jawapan,” katanya lagi.

Bulan lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung kewujudan titah adendum (perintah tambahan) Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya beliau menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Hakim, Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas mendapati semua afidavit difailkan bagi menyokong permohonan Najib termasuk oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, adalah bersifat dengar cakap. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast