Peguam Rajesh Nagarajan

KUALA LUMPUR – Anak lelaki kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin didakwa telah dipanggil ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum disoal selama berjam-jam tanpa kehadiran peguam.

Difahamkan anak lelaki Daim, Wira Dani Abdul Daim telah hadir ke SPRM di Putrajaya pagi semalam.

Perkara itu didedahkan oleh peguam yang mewakili anak Daim, Rajesh Nagarajan dengan mendakwa SPRM telah bertindak mengugut anak guamnya yang hadir tanpa peguam ketika disoal siasat.

Dakwa Rajesh, jika Wira Dani masih berkeras mahu hadir soal siasat bersama peguam, kemungkinan beliau akan ditahan oleh SPRM.

“Anak guam saya, Wira Dani telah berulang kali meminta supaya beliau ditemani oleh saya selaku peguamnya namun permintaan itu dinafikan SPRM. Pegawai SPRM itu kemudian mengugut akan menahan anak guam saya jika berterusan mahu peguamnya hadir.

“Ini adalah satu tindakan kasar dan tidak berpelembagaan. Ini adalah salah guna kuasa. Ugutan seperti ini adalah untuk menakutkan anak guam saya dengan menafikan haknya untuk diiringi oleh peguam.

“Saya mohon penjelasan daripada SPRM dan juga Menteri Dalam Negeri (KDN) berhubung tindakan ini,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Dakwa Rajesh juga, Wira Dani telah disoal siasat dengan soalan berulang kali selama berjam-jam.

Beliau turut mengingatkan tentang kematian mendiang Teoh Beng Hock yang juga telah dinafikan haknya mendapatkan nasihat perundangan ketika soal siasat SPRM.

Ketika ini, Daim sedang  berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen kerana didakwa gagal mengisytiharkan harta dan mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Siasatan SPRM terhadap Daim berpunca daripada maklumat Pandora Paper, yang didedahkan oleh International Consortium of Investigative Journalists pada 2021

SPRM sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya mungkin memanggil Daim sekali lagi bagi membantu siasatan selepas agensi antirasuah itu mengesyaki beliau mungkin mempunyai lebih banyak harta yang belum diisytiharkan kepada pihak berkuasa.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, pegawai penyiasat agensi itu baru-baru ini menerima maklumat baharu mengenai aset milik Daim dan kini sedang berusaha untuk menyiasat kesahihan dakwaan tersebut.

“Siasatan (terhadap Daim) masih diteruskan. Kita kena buat banyak pengesahan harta-harta yang tak diisytiharkan. Jadi menjadi tanggungjawab kita untuk menyemak harta-harta yang kita dapat maklumat tak isytiharkan,” katanya.

Selain Daim, isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid juga berdepan dengan tuduhan sama di mahkamah ketika ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast