KUALA LUMPUR – Indeks Pelopor (IP) meneruskan pertumbuhan positifnya dengan mencatatkan 3.5 peratus, mencapai 113.4 mata pada Jun 2024 berbanding 109.6 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
IP ialah alat yang digunakan untuk meramalkan arah
aliran ekonomi secara purata empat hingga enam bulan ke hadapan.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Indeks Perusahaan Bursa Malaysia mempamerkan prestasi kukuh dengan 42.2 peratus, meletakkannya sebagai penyumbang utama kepada peningkatan ini.
Walau bagaimanapun, prestasi bulanan IP menurun marginal kepada 0.7 peratus disebabkan oleh penurunan dalam lima daripada tujuh komponen kecuali Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (0.4%) dan Penawaran Wang Benar, M1 (0.2%).
Melihat kepada arah aliran jangka panjang terlicin pada Jun 2024,
IP kekal berada di atas trend 100.0 mata, katanya.
Trajektori positif ini menggambarkan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan dan berdaya tahan.
Memandangkan Malaysia adalah ekonomi berpacukan pengguna, pelaksanaan inisiatif pelarasan gaji dijangka akan merangsang perbelanjaan domestik. – MalaysiaGazette