Cubaan menyeludup 420 guni mengandungi biji timah oleh kapal kargo Indonesia gagal setelah diserbu oleh pihak Maritim Malaysia pada Rabu lalu.

KUANTAN – Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MaritimMalaysia) Pahang berjaya menggagalkan percubaan empat warga Indonesia yang cuba menyeludup 420 guni serbuk timah bernilai RM1.5 juta dalam satu operasi khas.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, operasi yang dijalankan bersama  Zon Maritim Mersing itu telah menahan sebuah bot kargo yang sarat dengan bahan itu.

Ia dipercayai cuba diseludup ke negara ini dari Indonesia pada Rabu lalu.

Menurutnya, bot kargo terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan menuju ke Sungai Endau oleh bot ronda Maritim Malaysia dikendalikan oleh nakhoda kapal bersama tiga kru semuanya warga Indonesia berusia antara 34 hingga 40 tahun.

”Pergerakan dan aktiviti kapal kargo berkenaan terus dipantau seterusnya ditahan di jeti pendaratan ikan persendirian Tanjung Gemok, Kuala Rompin kira-kira11.30 malam.

”Pemeriksaan mendapati kapal kargo itu merupakan kapal kargo Indonesia bersama timbunan bungkusan guni berisi pasir hitam yang disyaki tin ore (bijih timah),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Manakala hasil pemeriksaan lanjut, kesemua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada pihak berkuasa untuk membawa muatan kargo atau barang berduti.

Mazlan berkata, nakhoda kapal tidak memaklumkan ketibaan kepada pihak berkuasa selain gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah ketika bot kargo berkenaan merapat di jeti pendaratan ikan persendirian.

”Kapal kargo, nakhoda kapal dan semua kru bersama hasil rampasan ditahan seterusnya dibawa ke jeti Pos Maritim Teluk Gading sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tegasnya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan terutamanya di perairan Pahang khasnya.

Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasandi laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-571 7345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999. – MalaysiaGazette