MACC Malaysian Anti-Corruption Commission 1MDB funds recovery assets
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak sewenang-wenangnya menghalang wakil guaman dan sentiasa mematuhi undang-undang dalam semua proses siasatan.

Merujuk kepada dakwaan peguam, Wira Dani Abdul Daim yang mengatakan anak guamnya dinafikan hak wakil guaman, suruhanjaya itu menjelaskan, terdapat keputusan kes duluan (precedent case) yang membenarkan penangguhan sementara hak wakil guaman semasa prosedur siasatan tertentu.

“Perkara tersebut boleh dirujuk kepada keputusan kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia & Ors lwn Latheefa Beebi Koya & Anor (2017) 5 MLJ 349, yang menetapkan bahawa Artikel 5(3) Perlembagaan Persekutuan tidak menjamin hak wakil guaman semasa rakaman keterangan saksi.

“Malah mahkamah mendapati tiada asas undang-undang atau perlembagaan untuk kehadiran peguam semasa rakaman keterangan kerana Akta SPRM 2009 tidak memperuntukkan hak tersebut,” kata SPRM dalam kenyataan.

Dalam kes itu, pegawai penyiasat SPRM percaya kehadiran peguam Wira Dani boleh menjejaskan siasatan.

“Keputusan untuk tidak membenarkan peguam Wira Dani bersama sewaktu rakaman percakapan adalah selaras dengan keputusan kes yang dinyatakan di atas,” kata SPRM.

Tambah kenyataan itu, walaupun Artikel 5(3) Perlembagaan Persekutuan menjamin hak perwakilan peguam dalam prosiding jenayah namun hak itu tertakluk kepada pengecualian dan had tertentu.

Ia mengambil contoh kes Datuk Hasanah Ab Hamid lawan SPRM dan Kerajaan Malaysia (2019) 10 CLJ 191, Hakim Datuk Nordin Hassan menegaskan hak untuk mendapatkan wakil guaman boleh dikenakan sekatan sementara jika ia mengganggu siasatan.

“Dalam pada itu, SPRM kekal komited untuk menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan memastikan proses penyiasatannya dijalankan dengan adil serta mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada,” katanya lagi.

Terdahulu, peguam, Rajesh Nagarajan yang mewakili Wira Dani yang juga anak sulung bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin mendakwa anak guamnya dinafikan hak untuk diwakili peguam.

Beliau juga mendakwa pegawai SPRM telah mengugut anak guamnya bahawa beliau akan ditangkap dengan segera jika berkeras mahu ditemani peguam.

Susulan itu peguam itu menggesa SPRM, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan agar menghentikan perbuatan seumpama itu.- MalaysiaGazette