KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjangka pembayar cukai dalam kalangan penjawat awam meningkat susulan pengumuman pelarasan gaji oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas.
Ini kerana potongan cukai itu tertakluk kepada pendapatan yang boleh dicukai, kata Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan.
Menurutnya, perancangan kerajaan untuk memakmurkan rakyat dialu-alukan tetapi kenaikan gaji seolah-olah untuk melayakkan kakitangan itu untuk membayar cukai.
“Kerajaan sepatutnya membantu pembayar cukai mengurangkan beban cukai dengan memberikan lebih banyak pelepasan. Contohnya, pelepasan cukai bagi sumbangan PIBG, pelepasan cukai untuk aset berbentuk keperluan seperti kenderaan untuk pengurangan cukai,” katanya dalam kenyataan.
Shahir berkata, harus diingat kenaikan gaji penjawat awam dibuat setelah melihat pelbagai jenis kenaikan cukai.
Katanya, gaji penjawat awam bakal naik tujuh peratus pada hujung tahun ini namun kerajaan menaikkan kadar cukai servis dan kadar cukai DST sebanyak 33 peratus daripada enam peratus kepada lapan peratus dengan memperluaskan skop cukai servis ke sektor yang tidak pernah dikenakan cukai servis sebelum ini.
“Cukai baharu LVGT 10 peratus dan CGT 10 peratus turut diperkenalkan. Pada masa yang sama, tarif harga elektrik naik, tarif air naik, tarif pembentungan turut naik pada tahun ini…tidak dilupakan, kenaikan harga diesel 56 peratus,” ujarnya.
Sehubungan itu, Shahir berkata, mekanisme menang-menang perlu diperhalusi demi memberikan kesejahteraan kepada hati penjawat awam.
“Jangan pula tujuh peratus gaji naik tetapi lebih 10 peratus dikenakan dengan pelbagai jenis cukai. Akhirnya, rakyat yang menderita,” tambahnya. – MalaysiaGazette