Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman. foto IQBAL BASRI, 11 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Tiada lagi institusi kewangan yang akan memberi sokongan kredit kepada industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera sekiranya Bank Pembangunan dan Exim Bank mahu bergabung dengan SME Bank.

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dalam satu kenyataan melahirkan kebimbangan itu kerana penyatuan triparti itu tidak wajar kerana ia hanya menjejaskan PKS bumiputera selaku tunjang ekonomi negara.

Felo Kanan MTEM, Ahmad Yazid Othman berkata, penggabungan ini akan menghadkan pilihan PKS Bumiputera lantaran SME Bank bakal menjadi sebahagian daripada entiti tidak perlu lagi mendukung tanggungjawab hakiki tersebut.

“Kami berkongsi kerisauan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) bahawa penggabungan tidak seharusnya diteruskan.

“MTEM melihat penggabungan ini lebih menguntungkan Bank Pembangunan dan Exim Bank yang mungkin memerlukan SME Bank sebagai pelengkap kepada kekurangan mereka.

“Malah penyatuan itu bukanlah sebagai rakan kongsi sebenar yang boleh memberi nilai tambah khususnya buat usahawan Melayu dan Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Oktober tahun lalu, mengumumkan, institusi kewangan pembangunan (DFI) akan distruktur semula melalui penggabungan BPMB, SME Bank dan Exim Bank.

Menurutnya, penstrukturan semula institusi kewangan itu boleh memberi risiko kepada kehilangan pekerjaan iaitu hampir 95 peratus kakitangan Bumiputera dari SME Bank akibat pertindanan perjawatan antara bank.

“Sekiranya SME Bank benar-benar mahu memperluaskan liputan dan spektrum perkhidmatannya yang diakui cemerlang itu, mereka lebih cocok untuk bergabung dengan institusi kewangan patuh syariah atau seumpamanya yang mampu memberi pilihan lebih luas buat PMKS tempatan,” katanya.

Malangnya beliau berkata, cadangan penggabungan berskala besar itu hampir tidak kedengaran di pentas perdana, bahkan hampir langsung tidak diketahui oleh agensi Kerajaan.

“Malah para pemegang taruh yang mewakili kepentingan lebih 9.2 juta perniagaan berdaftar dengan SSM serta ribuan lagi pekerja institusi perbankan terbabit tidak mengetahui mengenainya,” katanya.

Sehubungan itu, MTEM bertegas agar cadangan penggabungan ini hendaklah melalui proses libat urus yang komprehensif sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi untuk diluluskan dan bukannya sekadar bersandar kepada selera dan keputusan pemegang saham semata-mata.

“Demi menjaga kepentingan umum terutamanya jutaan usahawan PMKS Bumiputera, MTEM mendesak agar cadangan penggabungan triparti Bank Pembangunan, Exim Bank dan SME Bank dibatalkan serta-merta,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast