Suspek kes maki hamun, ugut, pecahkan cermin kereta penghantar barang. Foto Polis Daerah Kajang

KUALA LUMPUR- Polis berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki memaki hamun, mengugut serta memecahkan cermin kereta seorang penghantar barang di Kajang, Selangor, semalam.

Polis Daerah Kajang dalam kenyataan hari ini berkata, suspek yang ditahan adalah lelaki Melayu berusia 54 tahun dan mempunyai dua rekod lampau.

Turut dirampas adalah senjata iaitu topi kaledar yang digunakan suspek semasa kejadian.

“Polis Daerah Kajang mengesahkan pada 22/08/20124 jam 2,30 petang, telah menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki Melayu berumur 25 tahun yang berkerja sebagai penghantar barang mendakwa telah dimaki hamun dan diugut serta kenderaan dipandu beliau telah dipecahkan cermin oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.

“Bertindak atas maklumat orang ramai dan tindakan pantas oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang telah berjaya suspek pada hari yang sama,” katanya.

Suspek kini direman empat hari sehingga 26 Ogos ini bagi melengkapkan siasatan dan mendapatkan punca sebenar kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua – duanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut atau saksi kejadian ini, diseru tampil membantu pihak Polis dengan menghubungi mana-mana Balai Polis terdekat atau boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Sarjan Mohd Shafiq Zahari di talian 011-11244128.- MalaysiaGazette