Peniaga di Uptown Pahlawan Walk cuba menyelamatkan khemah yang rosak dalam kejadian ribut malam ini yang disifatkan terburuk sejak 14 tahun, menyebabkan mereka kerugian puluhan ribu ringgit.

MELAKA – Lebih 100 peniaga bazar malam di Klebang dan Uptown Pahlawan Walk di sini mendakwa kerugian puluhan ribu ringgit setelah barangan jualan rosak dalam kejadian ribut malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 8.30 malam tadi turut tular menunjukkan khemah peniaga rosak sambil cuba mengumpul barangan jualan yang boleh diselamatkan.

Tinjauan MalaysiaGazette di Uptown Pahlawan Walk mendapati lebih 60 peniaga sedang sibuk membersihkan barangan yang sepatutnya menjadi ‘lubuk’ jualan pada cuti hujung minggu di kawasan tumpuan utama pelancong itu.

Peniaga pakaian Hisyam Holidi, 48, berkata, kejadian ribut berlaku sekelip mata menyebabkannya terkejut dan tidak sempat menyelamatkan barangan dijual.

“Sebelum Isyak tiba-tiba saja datang ribut sekelip mata melanda khemah kami di sini, sampaikan saya turut terperangkap di dalam khemah.

Hisyam Holidi

“Kalau nak kira kerugian boleh cecah RM30,000 kerana saya jual pakaian pelbagai jenama,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini malam ini.

Sementara itu Ahmad Firdaus Ahyani, 34, berkata, kejadian itu adalah kali pertama berlaku sepanjang lapan bulan uptown di tapak baharu itu dibuka.

“Sebelum ini 14 tahun ditapak lama berdekatan ini tak pernah pula jadi begini dan memang sedih sebab saya baru sahaja menambah stok pakaian dengan kos RM13,000.

“Saya langsung tak sempat meniaga apabila dua buah khemah berukuran 10X15 kali ranap diterbangkan ribut namun bersyukur kerana hujan tidak berlarutan dan mulai reda selepas itu,” katanya.

Sementara itu, menurut kenyataan dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka sembilan lokasi di sekitar daerah Melaka Tengah turut dilaporkan dinaiki banjir kilat.

Ia termasuk di Kampung Chetti, Kampung Morten, Kampung Pulau Kelapa, Kampung Batu Hampar, Kampung Bukit Piatu dan Kampung Solok Musai.

Selain itu di kawasan Banda Kaba, Bukit Cina Taman Wan Show dan Kampung Banda Hilir yang membabitkan 152 buah rumah. – MalaysiaGazette