Jabatan Kesihatan Negeri Selangor

KUALA LUMPUR- Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) sedang menyiasat video tular di TikTok bertajuk ‘Pengalaman bersalin czer di hospital kerajaan paling ngeri 2024.’

Jabatan itu dalam kenyataan hari ini berkata, buat masa ini pihaknya sedang meneliti pengurusan pesakit berkenaan semasa berada di hospital tersebut.

Pihak hospital juga katanya akan menghubungi pemilik akaun TikTok berkenaan bagi mengaturkan sesi pertemuan bersama pesakit dalam masa terdekat.

JKNS dalam kenyataan sama turut menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi serta memberi ruang kepada hospital bagi melengkapkan siasatan.

Sebelum ini tular di media sosial menerusi video bertajuk yang mendakwa telah berlaku kecuaian oleh pihak petugas kesihatan ketika prosedur berkenaan berlangsung sehingga menjejaskan fungsi badannya. -MalaysiaGazette