Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Malaysia Aviation Group (MAG) merancang untuk mengurangkan penerbangan dan laluannya di antara sekarang dan Disember 2024.

Dalam kenyataannya, Pengarah Urusan Kumpulan MAG Datuk Kapten Izham Ismail berkata, keputusan itu adalah susulan gangguan perkhidmatan yang kerap berlaku kebelakangan ini sehingga menjejaskan khidmat Malaysia Airlines, Firefly dan Amal.

MAS
Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail

“Keputusan ini diambil bagi membolehkan kami melaksanakan langkah-langkah pembetulan disebabkan insiden tersebut.

“Ini juga bagi memastikan kebolehpercayaan pesawat-pesawat kami untuk jangka masa panjang di samping merangsang operasi.

“Kami mahu memastikan gangguan yang dihadapi penumpang Malaysia Airlines, Firefly dan perkhidmatan Amal berkurangan dan juga mahu mereka menikmati pengalaman terbaik terbang bersama kami,” katanya.

Izham turut menzahirkan kekesalan terhadap beberapa ketidakselesaan yang terpaksa ditanggung penumpang akibat pembatalan penerbangan.

Dalam satu kenyaataan berasingan, MAG berkata, gangguan penerbangan pada 16 Ogos lalu disebabkan pelbagai faktor yang menyebabkan banyak penerbangan termasuk perkhidmatan MAS dan Firefly ditunda dan dibatalkan.

Menurut Izham, antara faktor berkenaan adalah cuaca; teknikal dan kekurangan tenaga kerja; kekangan rangkaian bekalan; serta normalisasi berterusan operasi aviasi global pasca-pandemik.- MalaysiaGazette