Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM)

CHUKAI- Polis sedang memburu seorang pemandu bas ekspres yang didakwa mencabul penumpang wanita dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kejadian berlaku tengah malam tadi ketika mangsa yang berusia 23 tahun berada di tingkat atas bas terbabit.

Katanya, mangsa yang bekerja sebagai promoter syarikat di Marang, menaiki bas berkenaan dari Kuala Terengganu kira-kira 10.15 malam.

Mangsa yang sedang tidur berasa seperti ada seseorang menarik lengan kirinya kira-kira 11.30 malam dan mendapati pemandu kedua bas terbabit melakukan perbuatan itu.

“Ketika kejadian, mangsa mendakwa bas terbabit berada di Plaza Tol Chukai Kemaman.

“Sebaik membuka mata, mangsa segera menjerit dan menepis tangan suspek sebelum suspek berhenti melakukan suspek perbuatan itu.

“Ketika itu mangsa mendapati suspek masih belum beredar serta duduk di sebelahnya sebelum suspek beredar ketika bas terbabit berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Chenor Pahang,” katanya.

Katanya, ketika kejadian hanya tiga penumpang berada di tingkat atas bas terbabit dan pengadu mengenali suspek sebelum ini kerana sering menaiki bas yang sama.

“Pengadu tiba di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Kuala Lumpur kira-kira jam 4 pagi sebelum ke Balai Polis Salak Selatan Baru untuk membuat laporan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette