KUALA LUMPUR – Pencarian pelancong wanita warga India yang terjelus di Jalan Masjid India, di sini, diperluaskan kepada enam lurang pembetungan (manhole) oleh pasukan penyelamat.
Enam lurang kumbahan itu adalah di hadapan Wisma Yakin, Jalan Melayu, persimpangan Jalan Melayu, Dataran Merdeka, Bank Pertanian berhampiran Lebuh Pasar dan Jalan Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman berkata, ia dilakukan hasil perbincangan bersama Indah Water Konsortium (IWK) sebelum keputusan operasi cari dan menyelamat (SAR) bermula jam 9.30 pagi tadi.
“Kita percaya mungkin mangsa tersangkut atau berada di laluan ‘manhole’ yang mana pukul 10.30 pagi tadi, kita telah buka satu ‘manhole’ di hadapan Wisma Yakin (100 meter dari lokasi kejadian).
“Namun sehingga kini masih belum ada sebarang petunjuk positif diperoleh. Bagaimanapun, kerja-kerja pencarian masih dijalankan dan kita doakan ada petunjuk untuk tindakan seterusnya.
“Kita harap semua orang beri kerjasama pada pihak berkuasa untuk buat kerja pencarian dan dinasihatkan pengunjung dan peniaga tutup sementara premis bagi mengelakkan gas keluar dari lurang kumbahan sehingga menjejaskan kesihatan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Tambah Sulizme Affendy, pihak bomba kini masih menjalankan operasi SAR kedua di Jalan Melayu dan sekiranya masih belum ada petunjuk akan ke empat lokasi seterusnya.
Mengulas lanjut kata beliau, pihaknya akan mempertimbangkan sekiranya terdapat keperluan teknologi serta pengesan K9 dalam operasi pencarian wanita berusia 48 tahun itu.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, keselamatan di sekitar Jalan Masjid India adalah selamat kepada orang ramai untuk dikunjungi ketika ini.
“Setakat ini kawasan sekitar selamat dikunjungi dan masa sama pihak DBKL telah menjalankan kajian lanjut struktur tanah,” ujarnya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Kuala Lumpur, M Fatta M Amin berkata, keadaan air ketika ini berada di paras air tiga kaki dan agak deras sedikit di laluan kumbahan.
“Seorang anggota sahaja ditugaskan melakukan pencarian di lurang terbabit dengan dilengkapi peralatan perlindungan diri (PPE) kerana penuh gas beracun di lokasi bawah tanah.
“Pasukan penyelamat hari ini akan menggunakan segala kepakaran dan teknologi daripada agensi terbabit seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” ujarnya.
Semalam, dalam kejadian sekitar jam 8 pagi, seorang wanita warga India berusia 48 tahun dikenali Vijayaletchumy dilaporkan hilang selepas menjadi mangsa tanah jerlus sedalam kira-kira lapan meter di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Laporan kejadian itu diterima JBPM Kuala Lumpur pada jam 8.22 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian. – MalaysiaGazette