Tangkap layar video yang tular memaparkan seorang pemandu menghentikan kereta di tengah jalan dan menegur pemandu lain dalam kejadian dipercayai Disember lalu.

JOHOR BAHRU – Pihak pengurusan kerajaan negeri sudah memberi amaran terhadap pemandu rasmi kepada seorang Exco kerajaan negeri yang menghentikan keretanya di tengah jalan untuk menegur seorang pemandu lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata, kejadian melibatkan pemandunya itu sudah lama berlaku tetapi tular dalam media sosial baru-baru ini.

“Semasa kejadian itu saya tidak berada di dalam kenderaan tersebut. Kejadian itu sudah lama berlaku, bukan baru-baru ini. Baru beberapa hari ini video kejadian tersebut tular.

“Pemandu saya telah mengaku perbuatannya menghentikan kenderaan lain kerana pemandu kenderaan tersebut memandu secara berbahaya.

“Tindakan itu bertujuan untuk memberikan nasihat kepada pemandu kenderaan tersebut, mungkin cuma cara dan nada suaranya agak kurang sesuai dengan teguran,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau akan meminta pemandunya memberikan kerjasama jika ada laporan polis yang dibuat berhubung kejadian berkenaan.

Menurut Ting Han, pihaknya juga meminta maaf mewakili pemandunya jika kejadian tersebut telah menyebabkan perselisihan faham berlaku antara mana-mana pihak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat memaklumkan, pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian tersebut.

“Hasil semakan mendapati tiada laporan polis dibuat berkenaan insiden ini di kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

“Pengamatan kasar terhadap video tiktok ini mendapati kejadian mungkin berlaku pada 12 Disember tahun lalu kira-kira pukul 8:33 malam,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman video yang memaparkan pemandu sebuah kenderaan exco kerajaan negeri, bertindak menghentikan sebuah kenderaan lain yang dipercayai memandu secara berbahaya di sekitar bandar raya ini.

Pemandu tersebut turut dilihat keluar daripada kenderaan itu dan menegur pemandu kenderaan lain itu dengan nada agak kasar selain bertanyakan apakah dia tahu siapa individu yang berada dalam kenderaan tersebut.

Namun apabila ditanya siapa individu yang berada di dalam kenderaan itu, pemandu tersebut enggan mendedahkan nama identiti berkenaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast