KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyeru semua pelajar mengambil peluang daripada Inisiatif Celik Madani: Celik Kewangan Belia Madani yang dilancarkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sempena penjenamaan semula Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).
Naib Presiden GPMS, Muhammad Danial Alimin berkata, inisiatif itu bukan sahaja memberikan nilai pelaburan permulaan tetapi membuka ruang membina masa depan kewangan lebih kukuh dalam kalangan belia.
Pihaknya yakin inisiatif Celik Madani: Celik Kewangan Belia Madani akan menjadi asas kepada pembinaan generasi muda yang lebih berdaya saing, celik kewangan dan bersedia menghadapi cabaran kewangan di masa hadapan.
“Sehubugan itu, kita berharap semua pihak yang terlibat termasuk institusi pengajian tinggi dan institusi pengajian vokasional akan terus bekerjasama menjayakan inisiatif ini,” katanya menerusi kenyataan.
Inisiatif Celik Madani: Celik Kewangan Belia Madani menyasarkan pendaftaran satu juta pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian vokasional ke arah meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan belia negara ini.
Ia akan melibatkan pelaburan permulaan sebanyak RM50 yang diberikan kepada setiap pelajar hasil kerjasama antara Kerajaan Pusat, PNB dan syarikat korporat.
Tambah Muhammad Danial, inisiatif itu bukan sahaja dapat memupuk tabiat menabung dalam kalangan belia malah menjadi pemangkin pengurusan kewangan lebih bijak dalam kalangan generasi muda.
Dalam masa sama, beliau turut menyifatkan langkah itu satu usaha yang sangat diperlukan untuk memastikan belia merancang kewangan pada usia muda seterusnya mengukuhkan kedudukan kewangan mereka selepas tamat pengajian.
“Inisiatif ini juga sejajar dengan matlamat GPMS untuk memperkasakan generasi muda dengan ilmu dan kemahiran kewangan yang asas agar mereka dapat membuat keputusan kewangan lebih bijak pada masa hadapan.
“Dengan sokongan yang diberikan oleh kerajaan, PNB, dan sektor korporat, kami yakin matlamat membangunkan tahap celik kewangan dalam kalangan belia akan dapat dicapai dengan lebih efektif,” katanya. – MalaysiaGazette