Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gimik perasmian pada majlis Ucaptama dan perasmian muktamar Masjid Semalaysia untuk Al-Aqsa dan Palestin di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah berjaya menganjurkan Muktamar Masjid se-Malaysia untuk pembebasan Al-Aqsa dan Palestin yang berlangsung dengan penuh bermakna di Dewan Masjid Wilayah Persekutuan hari ini.

Muktamar telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Anwar Ibrahim yang diiringi oleh Menteri Agama, Datuk Mohd Na’im Mokhtar.

Perwakilan muktamar berjumlah lebih 800 orang yang terdiri daripada 700 orang perwakilan masjid seluruh negara, 100 wakil NGO seluruh Malaysia dan 20 orang wakil akademik, kata kenyataan MAPIM.

“Melalui muktamar ini, para perwakilan diberi peluang untuk mendalami isu-isu semasa yang dihadapi oleh Palestin serta strategi-strategi untuk menyokong perjuangan mereka,” kata kenyataan yang sama hari ini.

MAPIM dan JAKIM berhasrat untuk menggalakkan kesedaran yang lebih mendalam dalam kalangan umat Islam mengenai situasi yang dihadapi oleh saudara-saudara kita di Palestin dan pentingnya menjaga keutuhan dan kesucian Masjid Al Aqsa.

Muktamar turut menampilkan sesi perbincangan dan ceramah yang disampaikan oleh tokoh-tokoh agama dan panel bidang yang berpengalaman yang membincangkan aspek-aspek penting dalam perjuangan Palestin dalam mempertahankan masjid Al Aqsa serta peranan setiap individu dalam memastikan sokongan berterusan untuk kemerdekaan Palestin.

Selain itu, acara ini juga menyediakan platform untuk berdialog dan bertukar pandangan mengenai langkah-langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan dan kesedaran global tentang isu Palestin.

Muktamar juga menjadi medium bagi rakyat Malaysia untuk menunjukkan sokongan kepada penduduk Palestin di samping memberi ruang kepada perwakilan untuk menunjukkan bantahan kepada tindakan tidak bertamadun israel terhadap masjid Al Aqsa.

MAPIM berharap Muktamar Masjid se-Malaysia ini bukan sahaja berjaya memperkukuh sokongan terhadap Palestin tetapi juga mampu menggalakkan umat Islam di Malaysia untuk terus berusaha dalam mempertahankan dan melindungi hak-hak dan kebebasan penduduk Palestin.

“Semangat solidariti dan kesatuan yang ditunjukkan dalam muktamar ini diharapkan akan menjadi pemangkin kepada tindakan-tindakan positif yang lebih meluas dalam masyarakat,” kata MAPIM.

MAPIM dan JAKIM ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong dan mengambil bahagian dalam muktamar ini. Kami berharap agar usaha akan memberi inspirasi kepada lebih ramai individu dan kumpulan untuk terus berjuang demi keadilan dan keamanan untuk Palestin dan Masjid Al Aqsa. – MalaysiaGazette