KUALA LUMPUR – Polis sedang mencari seorang saksi yang berada di lokasi kejadian tanah jerlus dan melihat mangsa wanita warga India, Vijayaletchumi, 48 berasal dari negeri Andhra Pradesh, India terjatuh dan tertimbus dalam kejadian di Masjid India di sini pada Jumaat lalu, bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, saksi yang sedang dicari untuk bekerjasama kepada polis adalah seorang individu yang duduk di kerusi bongkah konkrit semasa kejadian tanah jerlus berlaku.
“Kita (polis) ketika ini sudah mengambil keterangan adik perempuan mangsa yang berjalan di hadapannya semasa kejadian.
“Menurut wanita itu apabila mangsa terjatuh, dia melihat ke dalam lubang itu dan langsung tidak nampak mangsa.
“Sehubungan itu, kita sedang mencari seorang lagi saksi yang didapati duduk di kerusi batu untuk bantu siasatan lanjut polis,” katanya kepada pemberita dalam sidang media oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif petang tadi di lokasi kejadian.
Tambah beliau, berdasarkan maklumat awal polis lelaki yang sedang dicari polis adalah dipercayai seorang gelandangan dan masih sedang mengesannya dengan harapan dia tampil segera beri kerjasama dan membantu polis dalam siasatan ini.
Jelasnya lagi, setakat ini polis sudah merakam keterangan lima individu terdiri daripada ahli keluarga mangsa berhubung kejadian tanah jerlus itu.
Dalam pada itu, katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari ketiga ini melibatkan kekuatan seramai 104 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi yang giat mencari mangsa jerlus.
Katanya, pasukan polis akan meneruskan kawalan keselamatan di lokasi kejadian sehingga operasi mencari dan menyelamatkan mangsa kejadian selesai sepenuhnya.-MalaysiaGazette