Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia giat menjalankan kerja-kerja mencari mangsa yang merupakan seorang pelancong warga India yang terjatuh akibat mendapan tanah di Masjid India, Kuala Lumpur, pagi tadi. Foto SADIQ SANI, 23 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri memberi jaminan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warganegara India yang terjatuh ke dalam lubang benam di Masjid India di sini akan diteruskan.

Beliau yang melahirkan rasa simpati atas kejadian yang menimpa pelancong asing itu bagaimanapun telah meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menemui keluarga mangsa.

“Saya sudah minta DBKL jumpa keluarga dan kita lahirkan simpati dan kerja (SAR) harus diteruskan. Ada masalah dengan tanah itu, kita kena selesaikan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Muktamar Masjid SeMalaysia untuk Al-Aqsa dan Palestin di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan pagi tadi.

Sebelum ini, media melaporkan, dalam kejadian pagi pada Jumaat, mangsa dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh di dalam lubang sedalam lapan meter akibat kejadian mendapan tanah di Jalan Masjid India.

Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarga untuk melancong dilaporkan sedang berjalan kaki melalui kawasan berkenaan untuk menuju ke sebuah kuil berhampiran.

Terdahulu, tiada sebarang petunjuk baharu ditemui menerusi pencarian di sepanjang enam lurang kumbahan di sekitar lokasi kejadian dan loji kumbahan Indah Water Konsortium di Pantai Dalam yang dijalankan sejak kelmarin, semalam dan hari ini.

Enam lurang kumbahan itu adalah di hadapan Wisma Yakin, Jalan Melayu, persimpangan Jalan Melayu, Dataran Merdeka, Bank Pertanian berhampiran Lebuh Pasar dan Jalan Kinabalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast