Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif

KUALA LUMPUR- Indah Water Konsortium (IWK) terpaksa mengepam keluar (flushing) air kumbahan di hiliran bagi membolehkan pasukan penyelamat bomba untuk melakukan pencarian mangsa tanah jerlus di titik terakhir iaitu di Loji Pantai Dalam.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif menjelaskan, teknik flushing adalah dengan menahan air sehingga melimpah dan ia akan dilepaskan semula.

Selain itu katanya, pihak IWK juga telah mempunyai pemetaan lengkap dan bersetuju untuk menjalankan ujian integriti di kawasan tersebut.

“Pada hari ini, kerja-kerja pencarian semula diteruskan di lurang (manhole) lima (berdekatan Agro Bank) dan lurang enam (berdekatan Bulatan Kinabalu).

“Kerja-kerja dilakukan oleh pasukan penyelamat di lapangan iaitu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu Maimunah memaklumkan, sidang media sebanyak tiga kali sehari akan diadakan secara berkala.

Pihaknya juga akan mengeluarkan kenyataan media dari semasa ke semasa bagi memastikan maklumat yang tepat dapat disalurkan kepada warga kota.

Menyentuh mengenai waris mangsa yang berada di Malaysia, beliau berkata, mereka sudah diberikan bantuan dari sehi penginapan, makanan dan sesi kaunseling.

Pihak PDRM juga katanya akan bekerjasama dengan Pesuruhjaya Tinggi India untuk lanjutan visa.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

SAR mangsa tanah jerlus: Pencarian hari ini fokus dua lurang kumbahan