KELANTAN – Setelah enam tahun menjadi platform saluran dana wakaf di Kelantan, Wakaf MAIK Muamalat hari ini dijenamakan semula dengan pelancaran logo baharu dan kod QR bagi membolehkan masyarakat berwakaf secara dalam talian dengan mudah, pantas dan telus.

Melalui transformasi digital tersebut, Wakaf MAIK Muamalat yang merupakan hasil kerjasama Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyasarkan peningkatan kutipan sebanyak 20 peratus.

Wakaf MAIK Muamalat telah dilancarkan pada tahun 2018 dengan kutipan yang telah mencapai lebih daripada RM2.3 juta dan sehingga kini, sejumlah RM932,526.57 telah diagihkan kepada projek wakaf yang memanfaatkan sembilan ahli komuniti di negeri Kelantan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, sumbangan yang diterima Wakaf MAIK Muamalat akan diagihkan kepada projek-projek wakaf di Kelantan di bawah sektor pendidikan, kesihatan, dan pemerkasaan ekonomi masyarakat setempat termasuk penajaan asnaf terpilih untuk menyertai program keusahawanan iTEKAD Bank Muamalat.

“Dengan pengalaman dan kepakaran dalam mengurus dan mengembangkan dana wakaf sejak tahun 2012 selain di Kelantan, pihak Bank juga mengutip dan menguruskan dana wakaf majlis agama Islam di Selangor, Negeri Sembilan, Kedah serta Pahang.

“Bank Muamalat komited untuk menjadi peneraju agenda wakaf tunai melalui Kerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri-negeri untuk memperkasa kemajuan ummah dalam mencipta kehidupan lebih baik Bersama,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, bagi menyahut seruan Bank Negara Malaysia untuk menyokong landskap perkhidmatan kewangan digital yang lebih memberangsangkan, Bank Muamalat juga telah menyediakan perkhidmatan wakaf digital di kelima-lima negeri ini bagi mempermudahkan urusan wakaf di setiap negeri.

Pelancaran logo baharu dan kod QR Wakaf MAIK Muamalat telah dilangsungkan hari ini bersempena Bulan Wakaf MAIK dan telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz. – MalaysiaGazette