Grab Malaysia

KUALA LUMPUR- Grab menafikan terlibat dalam memberi komen menerusi surat terbuka yang ditulis Asia Internet Coalition (AIC) berhubung cadangan meregulasi lesen media sosial dan platform mesej peribadi.

Grab Malaysia dalam kenyataan hari ini menegaskan, mereka tidak pernah dimaklumkan atau berbincang mengenai kandungan surat tersebut.

“Cadangan untuk meregulasi platform media sosial dan mesej peribadi tidak memberi sebarang impak terhadap operasi kami.

“Sehubungan itu, kami tidak terlibat di dalam surat terbuka berkenaan. Kami juga tidak membuat sebarang kenyataan terhadap perkara tersebut,” katanya.

Tambah syarikat super app itu, Grab Malaysia kekal komited untuk bekerjasama dengan kerajaan sejajar dengan misi mereka untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

Terdahulu, AIC sebuah kumpulan yang mendakwa mewakili Meta, Google, Apple, Snap dan Grab menulis sepucuk surat terbuka kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyatakan impak negatif cadangan rangka kerja perlesenan media sosial terhadap ekonomi digital.

Katanya, undang-undang baharu itu akan menyebabkan invovasi terencat, menyukarkan pelaburan serta memberi beban terhadap perniagaan.-MalaysiaGazette