Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Isu akses internet di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC)  Kuala Lumpur tidak memerlukan penukaran menteri komunikasi.

Fahmi Fadzil berkata, isu terbabit melibatkan masalah teknikal dan memerlukan penyelesaian pihak yang menguruskan WTCKL.

Menteri Komunikasi itu menasihatkan Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh untuk berhubung terus dengan Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

“Dia berseloroh mengenai talian internet di Dewan Merdeka di WTCKL. Dalam kes teknikal seperti ini tak perlu tukar menteri komunikasi

“Saya cadangkan beliau berhubung dengan Irmohizam yang mempengerusikan WTCKL untuk meneliti masalah penyelesaian dalam bangunan. Masalahnya liputan dalam bangunan berbeza kalau masalahnya di luar,” kata Fahmi.

Menurut Fahmi, beliau bagaimanapun akan berhubung dengan Irmohizam untuk memastikan masalah akses internet di WTC tidak akan berulang.

Sementara itu Fahmi berkata, sebagai menteri beliau dan pasukannya telah berusaha bagi memastikan masalah liputan 5G diselesaikan dengan segera dan 80 peratus kawasan berpopulasi telah mempunyai kemudahan tersebut.

“Dari segi penggunaan juga setakat hujung Julai 2024 saya difahamkan hampir 48 peratus daripada pengguna internet perkhidmatan telefon mudah alih menggunakan rangkaian 5G jadi ini pencapaian cukup baik

“Saya teliti beliau (Dr. Muhamad Akmal) berseloroh mungkin pada waktu itu beliau ini memuatnaik sesuatu. Saya akan berhubung dengan Irmohizam untuk pastikan masalah seperti ini sekiranya mereka rancang awal tak jadi masalah. Isunya mungkin ramai pada satu-satu ketika,” jelas beliau.

Fahmi ditemui selepas menghadiri Pentarama Kelab Malaysiaku di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Semasa sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2024 pada Sabtu lalu Muhamad Akmal secara berseloroh mencadangkan kepada presiden UMNO agar menteri komunikasi digantikan dengan wakil daripada UMNO.

Ucapan tersebut merupakan respons spontan Muhamad Akmal apabila perwakilan UMNO menghadapi kesukaran untuk mengakses aplikasi media sosial melalui telefon pintar masing-masing semasa berada dalam Dewan Merdeka, WTCKL.-MalaysiaGazette