Home Utama Kes tetak punca gaduh depan Hospital Jasin

Kes tetak punca gaduh depan Hospital Jasin

KUALA LUMPUR- Pergaduhan di hadapan Hospital Jasin, Melaka yang tular di media sosial pagi tadi berpunca daripada kes tetak yang berlaku malam semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi menjelaskan, seorang lelaki India telah ditetak oleh sekumpulan lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang di hadapan kedai gunting rambut dekat Taman Rim Baru, Jasin.

Mangsa yang berusia 24 tahun itu disahkan meninggal dunia jam 10.15 malam ketika mendapatkan rawatan di hospital.

Katanya, kes gaduh yang tular itu berlaku semasa pengadu, 22, yang juga adik kepada mangsa membawa abangnya ke Hospital Jasin untuk mendapatkan rawatan.

“Semasa di Unit Kecemasan, kereta milik pengadu telah ditahan oleh sebuah kereta yang dinaiki sekumpulan lelaki yang tidak dapat dipastikan bangsanya.

“Suspek kemudiannya keluar daripada kereta dengan membawa sebilah parang dan telah memecahkan cermin kereta pengadu.

“Ketika pengadu cuba melarikan diri, keretanya telah terlanggar ambulans dan mengalami kemek di bahagian bawah lampu.

“Pengadu bagaimanapun berjaya melarikan diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin untuk membuat laporan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Jamil, polis berjaya tiga orang suspek berusia 21, 22 dan 31 tahun dan sedang memburu suspek lain yang masih bebas.

Ketiga-tiganya direman selama tujuh hari sehingga 1 September ini.

Menurut Ahmad Jamil motif kejadian masih disiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat di talian 016-5209501 atau 06-529 2222 (samb. 206).- MalaysiaGazette