Ketua Polis Daerah Dang Wangi Sulizmie Affendy Sulaiman bercakap pada sidang media berkenaan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 26 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Proses ‘jetting atau semburan bertekanan air tinggi digunakan dalam lurang kumbahan berhampiran Wisma Yakin di sini, bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa warga India yang terjelus di Jalan Masjid India pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner, Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, tindakan itu hasil dapatan pasukan SAR selepas mengesan objek keras tersekat di lurang kumbahan terbabit sekitar jam 2 pagi hingga 6 pagi tadi.

Antara anggota yang terlibat adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) temasuk pekerja Indah Water Konsortium (IWK).

“Awal pagi tadi kita telah menggunakan kamera push rode atau crawler ke dalam pembentungan di Wisma Yakin dan terdapat objek dipercayai sisa batuan akibat tanah jerlus dengan jarak empat meter.

“Buat masa ini kita telah melakukan empat kali kaedah ‘jetting’ untuk pecahkan serpihan objek tersebut sepenuhnya.

“Kemudian air akan terus ke bawah, apa objek termasuk badan manusia akan melepasi kawasan itu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsurtium (IWK), Narendran Maniam serta Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) KL, Rozihan Anwar Mamat.

Sementara itu menurut Narendran, kamera crawler yang digunakan IWK mampu bergerak sedalam 100 meter dari satu lurang ke lurang kumbahan yang lain.

“Kamera crawler itu sepanjang 80 hingga 100 meter dan ia boleh gerak ke lurang yang lain.

“Buat masa ini, kita fokus di kawasan tempat kejadian iaitu di depan Wisma Yakin,”ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Sulizmie Affendy berkata pasukan SAR telah melakukan teknik ‘flushing’ sejak semalam hingga hari ini melibatkan 10 lurang kumbahan.

Bagaimanapun, tiada sebarang petunjuk baharu keberadaan mangsa sepanjang opedasi SAR dilakukan yang memasuki hari keempat.

“Pihak JBPM dan IWK masih meneruskan ‘flushing’ secara berperingkat di setiap lurang dan pencarian di Loji Kumbahan IWK di Pantai Dalam turut dilakukan.

“Pada masa sama, operasi SAR ini kita menggunakan sepenuhnya kepakaran dalam negara melibatkan JBPM, DBKL, dan IWK, manakala polis pula membantu dari aspek kawalan keselamatan di sini.

“Kami memang tiada kepakaran menyelamat tapi kami menempatkan anggota bagi mengawal lokasi kejadian sebab ada individu tidak berkaitan cuba masuk ke kawasan kejadian ini dan akan beri risiko pada mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, DBKL telah meletakkan lebih 100 kampit beg pasir di sekeliling lubang tanah jerlus yang telah dikorek sedalam lapan meter.

Sulizmie Affendy berkata, ia bagi mengelakkan limpahan air hujan memasuki kawasan korekan di situ dan memandangkan cuaca kini kurang baik.

Pada Jumaat lalu sekitar jam 8.25 lagi, seorang wanita warga India berusia 48 tahun dikenali sebagai Vijayaletchumy dilaporkan hilang selepas menjadi mangsa tanah jerlus sedalam kira-kira lapan meter di Jalan Masjid India. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast