Bangunan Bursa Malaysia Berhad di Bukit Kewangan, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 08 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Pelabur asing kembali menjadi pembeli aktif minggu lepas, dengan belian berjumlah RM1.40 bilion dalam ekuiti Bursa Malaysia.

Angka belian itu hampir lima kali ganda bersih berbanding RM299.6 juta yang dibeli minggu sebelumnya.

MIDF Research berkata, eksport Malaysia melonjak pada kadar terpantas dalam hampir dua tahun, didorong oleh permintaan kukuh untuk komoditi dan elektronik, bersama-sama dengan penghantaran yang lebih tinggi kepada ekonomi maju.

Eksport mencecah RM131.2 bilion pada Jul-24, menandakan peningkatan +12.3%tahun ke tahun.

Firma penyelidikan itu berkata, pelabur asing adalah pembeli bersih pada setiap hari dagangan kecuali pada hari Jumaat apabila terdapat penjualan sebanyak RM1.6 juta.

Aliran masuk asing bersih terbesar berlaku pada hari Isnin berjumlah RM574.9 juta.

Sektor yang mencatat aliran masuk asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM1.30 bilion), utiliti (RM118.9 juta), dan telekomunikasi & media (RM54.8 juta).

Manakala sektor yang mempunyai aliran keluar asing bersih tertinggi ialah teknologi (-RM140 .2 juta), produk & perkhidmatan pengguna (-RM50.2 juta), dan hartanah (-RM25.9 juta).

Firma penyelidikan menambah, pelabur institusi adalah penjual bersih setiap hari dagangan dan terus menjual ekuiti domestik untuk minggu kedua berturut-turut, dengan jumlah jualan bersih RM1.12 bilion.

Pelabur runcit pula hanya melakukan pembelian bersih pada hari Jumaat, berjumlah RM78.2 juta, dan secara keseluruhan, mereka adalah penjual bersih dengan jumlah – RM284.4 juta.

Purata volum dagangan harian (ADTV) menunjukkan peningkatan merentas semua kelas pelabur.

Pelabur asing mencatatkan peningkatan tertinggi pada +35.8%, manakala pelabur institusi dan pelabur runcit mencatatkan kenaikan masing-masing sebanyak +33.1% dan +19.0%. – MalaysiaGazette