Mohd Puad Zarkashi waris sultan sulu ventilator keadilan najib sistem rahmah
Mohd. Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Penduduk di sekitar tragedi lubang benam (sinkhole) di Jalan Masjid India di sini, serta rakyat keseluruhannya perlu mendapat maklumat terkini berhubung ancaman tragedi tersebut pada masa depan.

Sehubungan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mendesak supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa tidak terus berdiam diri berhubung tragedi itu.

Apatah lagi, jelasnya, kira-kira 800 penduduk Flat Malayan Mansion yang tinggal cuma 50 meter dari kejadian lubang benam itu juga dilaporkan mula bimbang dengan keselamatan mereka.

“Sebab itu Menteri jangan duduk diam atau main sorok-sorok. Datang sekali dua tidak cukup. Penduduk sekitar dan rakyat Malaysia patut mendapat maklumat terkini mengenai ancaman lubang benam atau “sinkhole”,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Mohd. Puad turut mendesak supaya Menteri Wilayah Persekutuan berfikir di luar kotak dan membuat kajian pakar berkenaan ancaman lubang benam di Kuala Lumpur.

Katanya, kajian juga perlu dilakukan berhubung sistem penyelenggaraan utiliti bawah tanah dan perancangan jangka panjang untuk memindahkan ibu kota ke lokasi baharu.

Jelas beliau, ia susulan pakar geologi ada menyebut sebahagian besar permukaan Kuala Lumpur didasari oleh batu kapur yang rapuh, mudah larut dan berongga.

Katanya, hujan, banjir dan kegagalan utiliti bawah tanah turut menjadi punca banyak lubang benam di Kuala Lumpur ditambah aktiviti penggerudian dan pembangunan serta sistem selenggara infrastruktur yang lemah.

Kebimbangan berkenaan berlakunya kejadian lubang benam atau mendapan tanah di Kuala Lumpur kini menjadi topik perbincangan berikutan kejadian melibatkan seorang pelancong India di Jalan Masjid India, baru-baru ini.

Selepas empat hari kejadian itu, mangsa iaitu seorang wanita berusia 48 tahun yang terjatuh ke dalam lubang benam sedalam lapan meter masih gagal ditemukan sehingga kini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast