Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Trafik penumpang udara merekodkan sebanyak 8.8 juta pada Julai 2024, merekodkan peningkatan kukuh sebanyak 14.3 peratus tahun-ke-tahun berbanding 7.7 juta tempoh sama tahun lalu.

Ia juga merekodkan kenaikan sebanyak 7.7 peratus bulan-ke-bulan berbanding 8.1 juta penumpang pada Jun 2024.

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) berkata, pertumbuhan ini disumbangkan oleh peningkatan perjalanan antarabangsa, disokong oleh pemulihan berterusan laluan antarabangsa, pelaksanaan pengecualian visa 30 hari bagi pelancong dari China dan India, serta pengenalan destinasi antarabangsa baharu pada Julai 2024, termasuk Sihanouk di Kemboja, serta Qingdao dan Yantai di China.

Ini menjadikan trafik Julai 2024 91.7 peratus daripada paras pra-pandemik pada Julai 2019, yang mana trafik merekodkan 9.6 juta, dengan trafik antarabangsa memimpin pemulihan.

Trafik penumpang udara domestik pada Julai 2024, yang menyumbang 48.4 peratus daripada jumlah keseluruhan, mencatatkan 4.3 juta penumpang mewakili 88.0 peratus daripada jumlah trafik pada Julai 2019, iaitu sebanyak 4.8 juta.

Manakala trafik domestik mencatatkan peningkatan 4.3 peratus bulan ke bulan dari Jun 2024 dan peningkatan 3.5 peratus tahun ke tahun berbanding Julai 2023.

Trafik penumpang udara antarabangsa pula menyumbang 51.6 peratus daripada jumlah keseluruhan, dengan 4.5 juta penumpang pada Julai 2024 mewakili peningkatan kukuh sebanyak 11.1 peratus MoM dan peningkatan 26.6 peratus tahun ke tahun dengan pencapaian 95.4 peratus daripada paras Julai 2019 iaitu pemulihan yang hampir menyeluruh.

Lapangan terbang antarabangsa utama di Malaysia mencatatkan pertumbuhan dua digit tahun ke tahun dalam jumlah penumpang antarabangsa.

Menurutnya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur mencatatkan peningkatan sebanyak 28.0 peratus, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang merekodkan peningkatan sebanyak 22.3 peratus, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu mencatatkan peningkatan sebanyak 22.8 peritus.

Manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching mencatatkan peningkatan sebanyak 15.5 peratus, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi sebanyak 12.1 peratus, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (JHB) mencatatkan peningkatan tertinggi sebanyak 37.5 peratus.

Dari segi pengagihan trafik, kedua-dua laluan ASEAN dan bukan ASEAN menyumbang sama rata kepada pertumbuhan trafik antarabangsa.

Trafik ASEAN mencapai 2.3 juta penumpang, iaitu peningkatan 4.5 peratus MoM dan peningkatan 16.3 peratus tahun ke tahun manakala, trafik bukan ASEAN mencatatkan peningkatan yang lebih kukuh dengan 2.3 juta penumpang.

Ia mencerminkan peningkatan 18.5 peratus bulan ke bulan dan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 39.0 peratus.

Bagi 7 bulan pertama tahun 2024, jumlah kumulatif trafik penumpang udara mencapai 55.4 juta penumpang.

Perkembangan ini kekal di landasan untuk mencapai ramalan Mavcom sebanyak 93.9 juta hingga 107.1 juta penumpang untuk sepanjang tahun 2024.

Trafik antarabangsa terus menjadi pendorong utama, menyumbang 51.4 peratus daripada jumlah keseluruhan trafik penumpang setakat ini, manakala trafik domestik menyumbang 48.6 peratus.

Pengerusi Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, angka trafik Julai 2024 menonjolkan ketahanan dan dinamisme sektor penerbangan Malaysia.

Trafik antarabangsa terus menerajui pemulihan, sementara pertumbuhan ketara yang dapat dilihat dalam laluan ASEAN dan bukan ASEAN mengukuhkan kebangkitan semula perjalanan global, didorong oleh pemulihan ketersambungan dan keyakinan pengguna yang semakin meningkat. – MalaysiaGazette