Yogeesvaran Kumaraguru

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelantikan Datuk Yogeesvaran Kumaraguru sebagai ahli luar bagi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC).

Tempoh pelantikan ini adalah selama dua tahun, berkuat kuasa 1 September 2024.

Yogeesvaran merupakan ahli ekonomi terkemuka yang mempunyai pengalaman berkhidmat selama 27 tahun di Unit Perancang Ekonomi (EPU) sebelum memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perladangan dan Komoditi pada tahun 2017.

Semasa tempoh perkhidmatan di EPU, beliau terlibat dalam penggubalan beberapa Rancangan Malaysia dan merupakan ahli Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi Negara.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pakar runding mengenai hal ehwal ekonomi kepada Bank Dunia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Yogeesvaran memperoleh ijazah Sarjana dalam bidang Ekonomi dari University of Manchester, United Kingdom, ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi dari Universiti Malaya dan ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari University of London, United Kingdom.

Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour mengalu-alukan kehadiran Yogeesvaran sebagai ahli MPC terkini.

“Kepakaran dan pengalaman beliau dalam bidang ekonomi serta penggubalan dasar akan memberikan manfaat kepada perbincangan dan pertimbangan MPC,” katanya.

Ahli-ahli MPC:

Gabenor Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour
Timbalan Gabenor Datuk Jessica Chew Cheng Lian
Timbalan Gabenor Dato’ Marzunisham Omar
Timbalan Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid
Penolong Gabenor Dr. Norhana Endut
Penolong Gabenor Mohd Fraziali Ismail
Penolong Gabenor Mohamad Ali Iqbal Abdul Khalid
Lim Chee Sing (Ahli Luar)
Nor Zahidi Alias (Ahli Luar)
Datuk Yogeesvaran Kumaraguru (Ahli Luar) – MalaysiaGazette